
“Dalam semua dokumen ini, tidak ada satu pun yang menyatakan Sabah dan Sarawak mesti mempunyai 35% kerusi. Tidak ada juga peruntukan yang menyebut Perlembagaan tidak boleh dipinda. Tetapi hak-hak imigresen, perkhidmatan awam dan perkara lain masih dijamin. Sampai sekarang, kalau kita hendak masuk ke Sabah pun, kita masih perlu melalui imigresen,” katanya dalam audio siar bersama Zaid Ibrahim.
Azhar berkata beliau telah meneliti pelbagai dokumen termasuk Perlembagaan, Akta Malaysia 1963, dan Perjanjian Malaysia 1963 di United Kingdom serta laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), namun tidak menemui klausa yang menyokong dakwaan tersebut.
“Dokumen-dokumen ini tidak pernah menyatakan bahawa Sabah, Sarawak dan Singapura secara kekal mesti mempunyai 35% kerusi. Bila Singapura keluar, tidak ada klausa yang mengatakan kerusi itu mesti diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Kalau ada, tunjukkan. Kalau tiada, ia hanyalah naratif politik,” katanya.
Menurutnya, dakwaan 35% ini timbul kerana pada 1963, Parlimen ketika itu mempunyai 159 kerusi — 104 dari Semenanjung, 16 dari Sabah, 24 dari Sarawak dan 15 dari Singapura — menjadikan jumlah kerusi Borneo dan Singapura sedikit melebihi satu pertiga.
Namun, beliau menegaskan andaian mengatakan kerusi Singapura yang keluar pada 1965 sepatutnya diberi kepada Sabah dan Sarawak hanya tafsiran politik tanpa asas undang-undang.
“Selepas Singapura keluar, ada pihak kata 15 kerusi itu mesti diberi kepada Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan jumlah satu pertiga. Tetapi itu tidak disokong oleh mana-mana dokumen. Ia hanya tafsiran politik, bukan fakta undang-undang,” katanya.
Azhar turut menegaskan Akta Kemajuan Petroleum (PDA 1974) juga mendapat sokongan wakil rakyat Sarawak sendiri.
“Akta petroleum dibahaskan selama tiga hari dan dibentangkan oleh wakil Sarawak sendiri. Lebih 20 Ahli Parlimen dari Sarawak turut mengundi menyokong. Jadi ia bukan sesuatu yang dipaksa,” katanya.
Sementara itu, Zaid mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak dipengaruhi oleh retorik politik ketika membuat semakan kerusi Parlimen.
“SPR tidak boleh ikut naratif politik. Mereka mesti berpandukan mandat dan kerangka nasional. Naratif nasional semestinya mengambil kira pandangan seluruh negara, bukan sekadar satu pihak,” katanya.
Azhar turut merujuk pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof baru-baru ini bahawa isu menambah kerusi untuk Sarawak sedang diteliti.
Zaid menutup perbincangan itu dengan peringatan: “Naratif politik ini disebut oleh pelbagai pihak untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Tetapi jangan sampai ia menjejaskan hala tuju negara. Politik mesti berteraskan naratif nasional dan perpaduan bangsa, itu yang penting.”