Presiden Umany beri keterangan hampir sejam, polis aju 19 soalan

Presiden Umany beri keterangan hampir sejam, polis aju 19 soalan

Polis mengajukan 19 soalan kepada Tang Yi Ze berkisar isu pemansuhan program matrikulasi.

Tang Yi Ze
Presiden Umany, Tang Yi Ze, memberikan keterangan di IPD Wangsa Maju berhubung kenyataan berkait program matrikulasi.
KUALA LUMPUR:
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) memberikan keterangan kepada polis selama hampir satu jam, berhubung kenyataannya berkait program matrikulasi.

Ketua kumpulan siswa itu, Tang Yi Ze, tiba di IPD Wangsa Maju pada kira-kira 2 petang tadi, ditemani peguam, Zaid Malek daripada Lawyers for Liberty (LFL).

Zaid memberitahu pemberita bahawa polis mengajukan 19 soalan kepada anak guamnya, berkisar isu pemansuhan program matrikulasi.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya selepas Tang selesai memberi keterangan.

Polis melancarkan siasatan susulan lima laporan polis menyentuh kenyataan Tang seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Pada 12 Sept lalu, Umany dilaporkan menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan, dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam bagi jurusan ijazah.

Keesokannya, Umany dalam permohonan maaf berkata penggunaan perkataan ‘mansuhkan’ mungkin menimbulkan salah faham, menjelaskan maksud sebenar mereka ialah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan STPM.

Sementara itu, Zaid menegaskan kenyataan Umany hanya cadangan bagi isu umum seperti pendidikan, menyeru setiap cadangan berkaitan isu pendidikan perlu diraikan.

“Setuju atau tidak setuju itu perkara lain. Adakah ia satu jenayah? Tidak. Kita biasa dengar contoh pemimpin Umno atau mana-mana pihak lain yang telah berulang kali minta mansuh sekolah vernakular,” katanya.

Tang pula berharap isu yang dibangkitkan Umany berhubung program matrikulasi tidak dijadikan isu besar, menegaskan ia sekadar cadangan selaras Perkara 10 Perlembagaan yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.