
Amir berkata demikian sebagai menjawab kritikan bahawa subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi wajar dihentikan bagi memaksimumkan penjimatan.
“Kerajaan sentiasa mengambil kira realiti dihadapi rakyat. Dengan sistem yang ada sekarang, kita masih mencapai penjimatan,” katanya pada sesi taklimat media berhubung program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Beliau berkata penting untuk tidak memandang remeh nilai penjimatan itu, walaupun jumlahnya mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak.
“Adakah RM2.5 bilion kecil atau besar? Setiap ringgit dijimatkan akan digunakan dengan cara lain untuk memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pada awalnya, kerajaan menganggarkan penjimatan sehingga RM8 bilion daripada rasionalisasi subsidi RON95, namun Amir semalam menjelaskan jumlah penjimatan tahunan dijangka sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion.
Bermula 30 Sept, kerajaan akan menyalurkan sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu sah.
Amir turut mengulas kebimbangan kebocoran dalam sistem MyKad yang digunakan untuk mengesahkan kelayakan, sambil berkata kerajaan sedang memperhalusi mekanisme bagi mengesan penyalahgunaan.
“Pada masa yang sama, kita tidak boleh membiarkan kelemahan ini menghalang pelaksanaan rasionalisasi subsidi. Jika kita menunggu sistem sempurna, negara tidak akan mampu bergerak ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican berkata TNG Digital Sdn Bhd diberi tanggungjawab mengurus infrastruktur digital belakang tabir bagi mekanisme subsidi itu.
Difahamkan, sistem pusat yang menyokong pengesahan Budi95 merentasi semua aplikasi peruncit minyak dibangunkan dan dikendalikan oleh Nadi Tech Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNG Digital.
Kerajaan menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9 pagi, Khamis bagi memudahkan semakan profil serta baki penggunaan kelayakan
bulanan.
Pemandu e-panggilan juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal terbabit.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, juga mulai Khamis.