
Bekas menteri pertanian dan industri makanan itu berkata, ramai tidak menyangka beliau dapat menerajui PN Sabah, tetapi kini beliau sudah berbuat demikian.
“Saya tiada masalah dengan Pas. Kita pernah duduk dalam Kabinet yang sama.
“Kadang-kadang, kualiti kepimpinan seseorang hanya benar-benar terserlah apabila diberi peluang memegang jawatan. Di situlah mereka membuktikan nilai dan kemampuan sebenar.
“Justeru, saya yakin semua yang ada (dalam PN termasuk PAS) berkelayakan serta mampu memimpin berdasarkan pengalaman masing-masing,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Ahli Parlimen Beluran selama enam penggal itu bagaimanapun mengulangi hasrat PAS untuk menerajui PN perlu dibincangkan Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.
Dalam muktamarnya minggu lalu, perwakilan PAS sebulat suara meluluskan usul untuk parti itu menerajui PN pada PRU16.
Kiandee berkata, ia perkara biasa untuk parti meluluskan usul sedemikian pada perhimpunan tahunan mereka.
“Sama seperti PAT (perhimpunan agung tahunan), Bersatu bincang dan meluluskan usul. Jadi, setiap parti boleh mencorakkan aspirasi dan hasrat melalui penghimpunan tahunan masing-masing.”
Beliau berkata, akhirnya Majlis Tertinggi PN yang mempunyai kata putus selepas pemimpin mencapai kata sepakat.