
Ram Singh yang mewakili “Pelajar A”, saksi kanak-kanak dalam inkues itu, berkata Shafie sepatutnya tahu kenyataannya mengenai bukti serta individu yang telah atau belum memberi keterangan, boleh dianggap mengganggu proses kehakiman.
“Ini penghinaan terhadap mahkamah dan terpulang kepada koroner untuk membuat keputusan. Kami akan membangkitkan isu ini dalam prosiding pada Isnin nanti,” katanya ketika dihubungi FMT.
Seorang peguam berpangkalan di Sabah berkata, integriti prosiding kehakiman menuntut sebarang kesimpulan diserahkan kepada mahkamah, bukannya pihak luar.
“Kenyataan sedemikian berisiko mendahului penemuan mahkamah dan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti proses kehakiman,” katanya yang enggan dinamakan.

Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata tidak wajar mengeluarkan kenyataan awam berhubung isu utama yang dalam pertimbangan kehakiman, melainkan ia ulasan adil.
Menurutnya, kenyataan tertentu boleh menimbulkan perasaan marah dan kecewa serta membuka ruang kepada khabar angin tidak berasas tersebar.
Presiden Badan Peguam, Ezri Abdul Wahab, memberi amaran spekulasi Shafie boleh mengganggu misi pencarian fakta dengan mewujudkan tekanan tidak wajar ke atas penyiasat atau koroner, serta berpotensi memesongkan penilaian bebas terhadap fakta.

“(Ia juga boleh) menghalang atau menakutkan saksi, yang mungkin merasakan keterangan mereka diprasangka atau dipolitikkan,” katanya kepada FMT.
Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues, menurut klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar.
Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”
Ram berkata, Peguam Negara, Dusuki Mokhtar telah memberi peringatan jelas semalam bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak cuba mengganggu prosiding inkues.
Zara, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues diadakan selepas meneliti laporan siasatan polis.