
Chong juga mempersoalkan keperluan pengeluar minuman beralkohol tempatan itu mengeluarkan produk berkenaan daripada pasaran susulan kritikan Ahli Parlimen Santubong Nancy Shukri dan pengundinya, lapor The Borneo Post.
Katanya, beliau tidak nampak sebarang masalah syarikat berkenaan menamakan bir itu ‘Santubong’ kerana ia membantu mempromosikan identiti Sarawak.
Ahli Parlimen Stampin itu berkata rakyat Sarawak seharusnya meraikan inisiatif tersebut sebagai satu usaha memperkenalkan negeri itu ke peringkat lebih luas.

“Sama seperti kita dengan bangga memasarkan produk seperti ‘Borneo Fresh Pork’ ke Singapura atau wain tempatan atau tuak.
“Menamakan bir yang diilhamkan daripada ‘Santubong’ hanyalah sebahagian daripada usaha menonjolkan identiti dan warisan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Chong mengulas keputusan syarikat itu menarik balik minuman beralkohol berkenaan daripada edaran ‘berikutan perhatian meluas terhadap nama Santubong’.
Menurut maklumat produk, bir itu ‘diinspirasikan oleh Gunung Santubong yang megah di Sarawak’. Ia dihasilkan dan dibotolkan di Sibu.
Ketua pembangkang negeri itu juga mempersoalkan mengapa rakyat Sarawak tiba-tiba menjadi begitu sensitif sehingga nama bir juga dianggap menyinggung perasaan.
Katanya, beliau jangkakan perkara sebegitu hanya berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Tetapi apabila ia berlaku di Sarawak, dan diterajui Nancy Shukri, ia amat mengecewakan.
“’Kemenangan’ beliau kononnya dalam isu bir ‘Santubong’ ini sebenarnya adalah satu langkah ke belakang dan menyebabkan hilangnya sebahagian kecil tetapi sangat berharga nilai toleransi dan keharmonian Sarawak,” katanya, menurut The Borneo Post.
Chong menegaskan kebimbangan yang lebih besar bukan sekadar mengenai nama satu produk, tetapi tentang Sarawak yang semakin tergelincir ke arah budaya politik hipersensitif dan berlebihan yang selama ini dielakkan.
“Hari ini, ia tentang jenama bir. Esok tentang apa pula? Berapa banyak lagi identiti unik Sarawak yang sanggup kita korbankan hanya untuk tunduk kepada sentimen kaum, agama dan sandiwara politik?” soalnya.