
Beliau meminta MPM mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dalam pengurusan penajaan dan ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu menimpa jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berulang.
“Semasa atlet kita ke Sukan Olimpik Paris, ada banyak syarikat memberikan tawaran RM1 juta dan pelbagai ganjaran kalau mereka berjaya meraih pingat emas di temasya itu.
“Apa yang RTG buat adalah mendapatkan semua penaja ini menandatangani kontrak dan saya lihat ada keperluan untuk MPM mengikut (langkah sama),” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 di Bangi.
Liek Hou memenangi emas dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 (masalah fizikal) di Paralimpik Tokyo 2020 dan mempertahankan kejuaraannya dalam temasya di Paris tahun lalu.
Minggu lalu, beliau melalui Instagram menyuarakan kekecewaannya kerana masih menunggu insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan MPM selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024.
Presiden MPM, Megat D Shahriman Zaharudin, mempersoalkan dari mana datangnya janji RM60,000 itu. Beliau berkata, tiga syarikat pada awalnya menjanjikan sokongan kepada pemenang pingat dan MPM kini menerima RM88,000 daripada seorang penaja untuk diagihkan kepada atlet.
Tetapi, Bernama pada Ogos 2024 memetiknya berkata, pemenang pingat emas Paralimpik Paris masing-masing akan menerima insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan tiga syarikat.
Khamis lalu, Megat dilaporkan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Liek Hou atas kenyataannya di media sosial.
Yeoh berkata, Liek Hou tidak patut dilayan seolah-olah melakukan kesalahan disiplin sedangkan beliau hanya menuntut apa yang dijanjikan.
“Saya lihat perkara ini mudah sahaja (untuk diselesaikan). Kita tidak perlu orang tengah. Kalau ada janji, kita tunaikan janji. Kalau tidak dapat tunaikan, kita nyatakan kenapa dan kita perbaiki daripada ini, tidak perlu sampai nak gantung atlet itu.”
Beliau berkata, tiba masanya MPM memperbaiki sistem tadbir urusnya dan kementeriannya tidak akan menyokong sebarang tindakan tatatertib terhadap Liek Hou.