Mayat dalam kereta: Motif bunuh dipercayai kerana rebut harta

Mayat dalam kereta: Motif bunuh dipercayai kerana rebut harta

Mangsa berusia 62 tahun itu didapati ada ikatan kekeluargaan dengan suspek utama, menurut polis.

Mayat seorang wanita ditemukan di dalam kereta selepas seorang individu menembak dan menikam seorang konstabel polis dalam kejadian di Simpang Pulai, Ipoh, 7 Sept lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pertikaian mengenai harta dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang warga emas yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah kenderaan di Simpang Pulai awal bulan ini.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa mempunyai ikatan kekeluargaan dengan suspek utama yang masih bebas.

Beliau berkata, motif pembunuhan wanita berusia 62 tahun itu hanya boleh disahkan apabila suspek utama, yang dipercayai melarikan diri ke luar negara melalui laluan tikus, ditahan.

“Memang bermotifkan (pembunuhan) perebutan harta,” katanya selepas merasmikan penutupan program anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy, Teluk Intan, lapor Bernama.

“Kesemua sembilan individu yang ditahan sebelum ini pun ada hubungan kekeluargaan.”

Terdahulu, Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek yang dipercayai menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai, sebelum mayat seorang wanita ditemukan di dalam keretanya.

Dalam kejadian pada 7 Sept itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan pada bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek.

Sembilan individu kemudian ditahan bagi membantu siasatan, namun dibebaskan seminggu kemudian.

Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, anggota polis berpangkat konstabel itu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

“Kami juga masih belum menemukan pistol milik konstabel polis yang dirampas suspek semasa kejadian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.