
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Azlikamil Napiah berkata, usaha itu berpotensi menyumbang sekurang-kurangnya RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekiranya Malaysia menjadi peneraju industri angkasa di rantau ini.
“Setakat ini, tiga pihak menunjukkan minat dan satu daripadanya telah menghantar laporan kajian kebolehlaksanaan lengkap minggu lepas. Penilaian terhadap laporan ituakan diproses dalam tempoh 90 hari selepas ia diserahkan kepada MYSA.
“Mana-mana pelabur luar yang berminat dengan projek ini perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan selain mendapat persetujuan kerajaan negeri memandangkan isu tanah adalah bidang kuasa negeri,” katanya selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Menaik Taraf dan Membaik Pulih Surau di Surau Parit 5 Timur (Tengah), Jalan Baru, hari ini.
Beliau berkata, lokasi tapak pelancar di negara ini dapat memberi kelebihan ekoran kedudukan Malaysia di atas garisan Khatulistiwa yang membolehkan pelancaran roket dilakukan dengan lebih efisien serta menjimatkan kos bahan api.
Pada masa sama, Azlikamil memaklumkan, menerusi projek sama, pihaknya menyasarkan untuk memiliki satelit pemerhatian bumi sendiri, membangunkan bandar angkasa lepas termasuk menyediakan khidmat pelancar roket.
“Pembinaan ini akan dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) membabitkan perkongsian kos antara kerajaan dan pelabur, serta dijangka dimulakan sekitar awal 2029 selepas semua proses penilaian, kelulusan serta persediaan infrastruktur selesai.
“Selain membuka peluang pelaburan, pembangunan tapak pelancar roket ini juga dapat memberikan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat melalui pembinaan infrastruktur, tenaga serta peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Terdahulu, Azlikamil menyerahkan lima surau yang sudah dinaik taraf dan dibaik pulih di lima kampung di bawah Program Kampung Angkat Madani dengan peruntukan RM315,000.
Surau Ehsaniah, Parit 2 Timur; Surau Tuan Guru Haji Bahaudin, Parit 3 Timur; Surau Haji Mohamad, Parit 3 1/2 Timur; Surau Nur Al-Iman, Parit 4 Timur; dan Surau Parit 5 Timur (Tengah) mula dinaik taraf dan dibaik pulih sejak 9 Jun lepas dan siap sepenuhnya pada 8 Ogos.