
Beliau berkata, arahan dikeluarkan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan supaya usaha itu dipergiatkan bagi memastikan kefahaman lebih meluas berhubung tujuan serta objektif RUU itu.
“Keperluan dalam konteks Kabinet adalah supaya lebih banyak libat urus diadakan dengan pihak berkaitan dan berkepentingan untuk diberi penjelasan.
“Kita akan terus (lakukan libat urus) sampai satu waktu yang kita rasa sesuai, RUU itu masih ada lagi di Parlimen dan tidak ditarik balik atau dibatalkan, jadi yang penting ialah memberikan kefahaman jelas sebab banyak kekeliruan timbul dan memerlukan penjelasan,” katanya selepas Karnival Keluarga Sejahtera 2025 di sini.
Pada 29 Ogos lalu, media melaporkan perbahasan untuk meluluskan RUU itu ditangguhkan buat kali keempat sejak dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai 2024.
RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara berhubung mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu serta menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berkaitan hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.
RUU itu juga memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.