
Beliau berkata, Malaysia percaya semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama rakan Asean jalan terbaik menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian.
Perkara itu dinyatakan Anwar selepas menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja menerusi panggilan telefon kelmarin.
“Saya turut berkesempatan bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi mendapatkan gambaran serta perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.
“Saya menyeru segala isu belum selesai dibawa ke meja rundingan melalui JBC,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Terdahulu, Anwar memaklumkan Malaysia mengadakan perbincangan lanjut dengan kedua-dua pemimpin negara itu susulan ketegangan yang berlaku.
Media sebelum ini melaporkan Manet mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan dipertikai, seperti dinyatakan dalam suratnya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree, pula mendakwa penduduk Kemboja terbabit insiden keganasan dan sengaja mencetuskan kekecohan, selain bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.
Thailand dan Kemboja sebelum ini mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata Julai lalu dengan Malaysia sebagai mediator, selepas pertempuran antara dua negara itu mengorbankan 33 nyawa.