Suruhanjaya Tenaga dakwa 12 kes, denda lebih RM200,000

Suruhanjaya Tenaga dakwa 12 kes, denda lebih RM200,000

Antara kesalahan ialah curi elektrik dan menjalankan pengubahsuaian pemasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian.

suruhanjaya tenaga
Suruhanjaya Tenaga berharap tindakan tegas menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk mematuhi undang-undang berkaitan elektrik dan gas berpaip. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan 12 kes pendakwaan berkaitan kesalahan elektrik dan gas berpaip didaftarkan di mahkamah melibatkan denda terkumpul RM200,140 tahun ini.

Antara kesalahan itu ialah mencuri elektrik, menjalankan pengubahsuaian pemasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian, menyimpan kelengkapan elektrik tidak berlabel dengan niat menjual dan menjalankan aktiviti penggunaan gas tanpa lesen.

“ST memandang serius kesalahan seperti ini yang bukan sahaja memberi kesan kepada industri tenaga dari segi nilai, bahkan terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan gas berpaip serta keselamatan awam.

“ST berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk mematuhi undang-undang berkaitan elektrik dan gas berpaip,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu memaklumkan sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara, ia sentiasa menguatkuasakan peruntukan undang-undang bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501).

Dalam kenyataan itu, ST memaklumkan kes terkini melibatkan pendakwaan terhadap tiga syarikat di Mahkamah Sesyen di Labuan serta Kota Kinabalu, Sabah pada 26 dan 27 Ogos atas kesalahan mencuri elektrik bawah subseksyen 37(3)(e) Akta 447.

ST memaklumkan LB Gases Hardware Sdn Bhd didenda RM50,000, Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd (RM55,000) dan Kim Kian Enterprise (RM50,000) dengan semua syarikat membayar denda itu.

ST mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kesalahan penggunaan elektrik dan gas berpaip termasuk mencuri elektrik melalui sistem eAduan ST www.st.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.