Majlis Halal Asean antara agenda utama sidang kemuncak Oktober

Majlis Halal Asean antara agenda utama sidang kemuncak Oktober

Zahid Hamidi berkata, Vietnam turut diundang hantar wakil selepas nyata kesediaan sertai majlis yang akan diterajui Malaysia dan Indonesia.

zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, pembentukan Majlis Halal Asean penting memandangkan potensi besar pasaran industri halal di rantau ini yang perlu dimajukan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cadangan penubuhan Majlis Halal Asean merupakan antara agenda utama Malaysia pada Sidang Kemuncak Asean yang dijadual berlangsung Oktober ini, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Halal Negara berkata, pembentukan majlis itu penting memandangkan potensi besar pasaran industri halal di rantau ini yang perlu dimajukan bagi memberi manfaat bersama kepada negara Asean dalam memasarkan produk halal.

“Penubuhan majlis ini menjadi satu daripada agenda penting pada sidang kemuncak Asean nanti,” katanya pada sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Hong Ha di ibu negara hari ini.

“Saya telah menjemput Vietnam menghantar wakil kerana kita mempunyai pasaran halal serantau kira-kira 640 juta penduduk. Sebelum kita bergerak ke peringkat lebih tinggi, pasaran halal yang besar ini perlu dimajukan terlebih dahulu.”

Beliau berkata, Vietnam turut menyatakan kesediaan untuk menyertai Majlis Halal Asean yang akan diterajui secara bersama oleh Malaysia dan Indonesia.

Terdahulu, Zahid dan rakan sejawatnya mengadakan pertemuan kira-kira 30 minit, antara lain membincangkan perkembangan industri halal kedua-dua negara termasuk kesediaan Malaysia membantu republik itu membangunkan industri halal menerusi pensijilan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan latihan berkaitan.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia dan Vietnam turut bersetuju meneroka kerjasama baharu bagi menubuhkan sebuah taman industri halal di Vietnam, selaras dengan kerjasama sedia ada antara Jakim dan empat agensi di negara itu bagi tujuan pensijilan halal.

“Kerjasama halal tidak seharusnya hanya melibatkan makanan dan minuman, tetapi turut merangkumi produk farmaseutikal, kosmetik, gelatin dan pelbagai produk lain,” katanya.

Beliau berkata, antara minat utama Vietnam adalah untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam pembangunan ekosistem halal memandangkan Jakim telah mengendalikan pensijilan halal sejak 51 tahun lepas.

Selain itu, Zahid berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan aspek perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam, menyaksikan Malaysia menikmati imbangan dagangan yang positif.

“Mereka meminta supaya usaha dilakukan agar peniaga dan pengguna kita menerima lebih banyak produk dari Vietnam, khususnya produk halal dan perkara ini akan diusahakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.