Guna veto galak genosid Zionis Israel

Guna veto galak genosid Zionis Israel

Kementerian Luar suarakan bantahan susulan tindakan veto terbaharu dibuat AS dalam majlis keselamatan PBB.

gaza
Kementerian Luar berkata Suruhanjaya Siasatan PBB telah jelas membuktikan bahawa jenayah genosid sedang dilakukan di wilayah Palestin yang Diduduki. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menyuarakan rasa amat khuatir terhadap penggunaan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis yang menggagalkan satu resolusi menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan serta penamatan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dalam kenyataan, Kementerian Luar berkata Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah jelas membuktikan bahawa jenayah genosid sedang dilakukan di wilayah Palestin yang Diduduki.

“Penggunaan kuasa veto ini hanya akan menggalakkan rejim Zionis Israel untuk terus melakukan jenayah genosid dan kemusnahan Gaza.

Sebagaimana yang jelas dapat dilihat dalam serangan darat terbaharu yang telah meragut lebih banyak nyawa, menafikan hak rakyat Palestin yang kebuluran, dan secara paksa memindahkan lebih 450,000 penduduk Palestin dari kediaman mereka,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata, kempen jenayah ini yang berbentuk genosid dan pembersihan etnik, yang dilakukan secara terang-terangan tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta pelbagai resolusi PBB, merupakan satu lagi babak dalam dasar hukuman kolektif sistematik oleh Israel terhadap populasi yang telah lama dikepung.

Kementerian itu menegaskan Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha menegakkan keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin.

“Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan padu terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, serta kemasukan segera dan tanpa syarat sebagai anggota penuh PBB,” katanya.

Pada Khamis, Amerika Syarikat sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan media, semua 14 anggota Majlis lain menyokong draf berkenaan yang turut menggesa Israel menamatkan sekatan terhadap penghantaran bantuan kepada 2.1 juta penduduk Palestin di wilayah itu, namun ia digagalkan undi negatif Washington.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.