Bicara kes Naim Daniel Disember depan

Bicara kes Naim Daniel Disember depan

Mahkamah Sesyen Putrajaya menetapkan tarikh perbicaraan kes penyanyi itu pada 15, 16 dan 18 Disember.

NAIM DANIEL
Naim Daniel didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada 19 Mei lalu.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Putrajaya menetapkan Disember depan untuk perbicaraan kes penyanyi Naim Daniel yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada Mei lalu.

Hakim M Kunasundary menetapkan tarikh 15, 16 dan 18 Disember pada prosiding pengurusan kes di hadapannya pagi tadi, menurut Berita Harian.

Beliau juga menetapkan 17 Oktober untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan supaya keterangan mangsa dalam kes itu dibuat secara pautan video.

Prosiding pagi tadi diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah dan Naim diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan.

Ketika ditemui pemberita, Irwan berkata pihaknya membantah permohonan pihak pendakwaan untuk mangsa memberi keterangan secara pautan video.

“Pihak pembelaan membuat permohonan secara rasmi di mana mahkamah menetapkan atau tarikh hujah, supaya pihak-pihak berhujah.

“Semasa perbicaraan nanti, mangsa bukan berumur bawah 18 tahun, jadi perlu dibicarakan secara biasa,” katanya.

Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 8.56 pagi, 19 Mei lalu.

Pada 17 Jun lalu dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.