SPRM teliti rekod kewangan keluarga, rakan suspek kes ‘counter setting’

SPRM teliti rekod kewangan keluarga, rakan suspek kes ‘counter setting’

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain.

Azam Baki-Pesuruhjaya SPRM
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya akan meneliti sesiapa saja yang mempunyai kaitan dengan individu ditahan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti rekod kewangan ahli keluarga dan kawan rapat individu ditahan berkaitan skandal ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata ia merangkumi sesiapa saja yang mempunyai kaitan dengan individu ditahan bagi mengesan aliran wang sindiket itu.

Setakat ini tiada tangkapan baharu, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain.

Selain rasuah dan salah guna kuasa, katanya, SPRM turut membuka siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kita juga melihat aset yang disita, selain mereka yang terlibat disiasat berhubung harta dan wang tunai, mereka akan diberi notis tertentu untuk mengisytihar harta mereka.

“Jika ada kaitan orang bersubahat akan dipanggil dan sebagainya,” katanya menurut Sinar Harian selepas Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ke-4 di Sepang.

Beliau berkata, saksi akan disoal siasat dari mana mereka mendapat wang untuk membeli kereta mewah, membuka perniagaan dan wang tunai dalam simpanan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menerusi Ops Rentas menahan 30 individu, termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pelbagai barangan mewah turut disita, termasuk kira-kira 3.2kg barang kemas bernilai RM1.6 juta dan 75 kepingan emas dianggarkan berjumlah RM400,000 daripada enam individu, termasuk lima pegawai Imigresen bertugas di pintu masuk negara.

Ada pula pegawai imigresen dikesan menyimpan hasil rasuah lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji dan lebih RM400,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera.

Sepasang suami isteri pegawai imigresen turut ditahan kerana mengumpul kekayaan dengan membeli barangan kemas sehingga mampu membuka sebuah kedai emas di Kuantan bermodalkan wang rasuah RM600,000 yang dikumpul sejak 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.