
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Pisar Aziz berkata, mayat lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan di kawasan Sungai Kampung Liau Laut pada 6.18 petang.
“Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa dan (jenazah) akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohd Pisar berkata, operasi mencari dan menyelamat hari ini ditumpukan di sekitar Kampung Linsudan kerana kasut mangsa ditemukan di sekitar sungai kampung itu.
“Jarak dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ialah 21km ke Kampung Linsudan,” katanya.
Dalam kejadian pada Selasa, tiga petugas syarikat itu dihanyutkan arus banjir ketika dalam perjalanan ke Kampung Nuntunan Apin-Apin untuk memulihkan bekalan elektrik.
Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dihanyutkan arus.
Sementara itu, Sabah Electricity mengesahkan petugas itu ialah Masedeh Rosmin, 35, yang berkhidmat di Keningau.
Merakamkan ucapan takziah, syarikat itu berkata, pihaknya akan memastikan segala sokongan yang sewajarnya, termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi, diberikan kepada keluarga Masedeh.
“Beliau dikenang sebagai seorang kakitangan yang berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tugas. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan.