Ketua warden sebak dikecam warganet

Ketua warden sebak dikecam warganet

Azhari Abd Sagap berkata beliau dan pihak sekolah tidak pernah melindungi sesiapa di sebalik kematian Zara Qairina Mahathir.

Mahkamah kota kinabalu
Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, berkata beliau dan pihak sekolah sentiasa beri kerjasama dengan serah semua bukti dan keterangan berkait Zara Qairina Mahathir.
KOTA KINABALU:
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner berlangsung penuh emosi apabila seorang saksi meluahkan kesedihan dan terkilan dengan kecaman warganet.

Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, 31, tidak dapat menahan sebak ketika memberi penjelasan tentang kecaman yang dilemparkan ke atasnya pada hari kesembilan prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi kelapan itu menegaskan, beliau serta pihak sekolah tidak pernah melindungi sesiapa, sebaliknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua bukti dan keterangan berkaitan kes berkenaan.

“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina, saya tidak akan ceritakan apa (insiden tuduhan curi) yang berlaku pada malam 15 Julai itu kepada pegawai polis. Saya maklumkan perkara itu sebelum ibu Zara Qairina membuat laporan polis kali kedua.

“Saya sendiri yang berurusan dengan polis. Apa-apa polis minta, siapa sahaja yang polis mahu bawa ke IPD Papar saya bawa, termasuklah audio ‘Kak M’. Saya juga yang memberitahu polis siapa ‘Kak M’,” katanya.

Azhari menegaskan remaja yang dikatakan sebagai ‘Kak M’ di media sosial bukanlah ‘Kak M’ yang sebenar.

Sebaliknya, remaja dikaitkan itu merupakan seorang pelajar baik yang hampir setiap tahun menyertai pertandingan hafazan sekolah serta antara tiga pelajar terawal menamatkan Ujian Akhir Sesi Akademik pada tahun lalu.

“Tuduhan terhadap pelajar terbabit sangat kejam hanya kerana dia orang pertama menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri di asrama pada awal pagi 16 Julai lepas. Kalau tiada dia, bagaimana keadaan Zara Qairina? Mungkin Zara Qairina sudah kehilangan nyawa di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau memberikan keterangan itu ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes Zara Qairina.

Saksi juga sedih atas kecaman dilemparkan ke atasnya hanya kerana melakukan segala usaha bagi menyelamatkan Zara, selain memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan segala bukti.

“Adakah ini yang patut saya terima? Adakah ini patut sekolah terima? Tiada apa yang kami selindung. Kami sudah memberitahu semua perkara. Semua itu tanggungjawab saya. Saya tidak mahu Zara Qairina teraniaya. Tapi, itulah sekarang ini, memang sekolah teraniaya termasuk saya sendiri.

“Saya ada…saya tunggu sampai Zara Qairina dicabut mesin. Saya tunggu Zara Qairina di mortuary (rumah mayat). Saya juga bertemu dan berbual dengan ibu Zara Qairina ketika berada di hospital hingga hari pengebumian remaja itu di Sipitang. Saya ada. Saya ikut solat sampai ke perkuburan. Inikah patut saya terima?,” soal saksi itu.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.