
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata kenderaan terbabit dirampas dalam Op Purple dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM KL.
Katanya, semua kenderaan terbabit dikesan di dua gudang berlesen milik beberapa syarikat import kenderaan, di Setapak dan Damansara.
“Siasatan awal mendapati pemilik gudang berlesen gagal mematuhi syarat ditetapkan di bawah Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967 apabila menyimpan kenderaan itu melebihi tempoh 48 bulan yang ditetapkan.
“Pemeriksaan rapi menemukan 32 unit kenderaan import yang disyaki tidak berkastam dan melanggar syarat gudang berlesen.
“Nilai rampasan dan sitaan adalah RM3,075,500 manakala anggaran duti import dan cukai berjumlah RM5,376,627, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM8,452,127,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata sindiket dikesan menyalahgunakan pengecualian duti yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967 untuk menyimpan kenderaan di gudang tanpa melunaskan cukai.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Norizan berkata setakat 31 Ogos lalu, pihaknya merekodkan 353 kes dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM72.12 juta.
Katanya, rampasan membabitkan pelbagai komoditi termasuk rokok, minuman keras, besi import, dadah, dron dan lain-lain komoditi.
“Orang ramai digesa membantu kita memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat,” katanya.