Bekas juruwang didakwa pecah amanah RM600,000 tambah nilai TnG

Bekas juruwang didakwa pecah amanah RM600,000 tambah nilai TnG

Tertuduh juga didakwa pindah wang hasil aktiviti haram ke akaun bank sendiri dan beberapa lagi akaun milik ahli keluarga.

TNG touch n go e wallet
Tertuduh, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan dan dibenar ikat jamin RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen KL.
PETALING JAYA:
Bekas juruwang pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) eWallet hampir RM600,000.

Tertuduh, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh didakwa curang menyalahgunakan mesin terminal pin TnG milik syarikat, dengan mengeluarkan nilai pin bernilai RM98,800.

Pin yang kemudian ditebus nilai ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong, antara 7 Jan 2023 dan 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Nur Atiqah didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 kepada akaun bank miliknya dan beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 1 Jan 2023 dan 6 Ogos 2024, menurut Utusan Malaysia.

Semua 14 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan Nur Atiqah melapor diri di Bahagian Pencegahan Wang Haram di Bukit Aman, sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Saravanan dan Megat Mahathir Megat Tharih Afendi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ainul Azwan @ Ainul Azirahman Ainul Jamal.

Kes disebut semula pada 18 Nov ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.