
Mohd Khushairi Osman, 54, mengaku tidak bersalah selepas 40 pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azrul Darus.
Lelaki itu berdepan 15 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu serta beberapa syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh di sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail, dekat Kuala Lumpur, antara 2020 hingga 2024.
Dia turut didakwa atas 25 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya kepada akaun bank beberapa syarikat dan individu antaranya GISB Travel and Tours Sdn Bhd, GISB Holdings Sdn Bhd, dan GISB Mart Sdn Bhd pada lokasi dan masa sama.
Semua pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), lapor Bernama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Pendakwaan juga memohon perintah agar tertuduh tidak mengganggu saksi serta melaporkan kepada pihak kami sekiranya terdapat perubahan alamat,” katanya.
Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Khushairi memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM25,000 yang sebelum ini diberikan kepada tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas alasan kes akan dipindahkan ke mahkamah itu untuk dibicarakan bersama.
“Anak guam kini tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya sekali sekala berpeluang berniaga di pasar malam. Semua akaun banknya termasuk milik ahli keluarga telah dibekukan,” kata peguam itu.
Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 13 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Sept, Khushairi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 54 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM20.3 juta.