Masjid, surau diarah adakan solat hajat untuk Sabah

Masjid, surau diarah adakan solat hajat untuk Sabah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata semua agensi di kementeriannya akan turun membantu agensi pusat dan negeri menyantuni mangsa.

banjir sabah
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee memaklumkan solat hajat akan diadakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas solat maghrib hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Semua masjid dan surau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Sabah yang dilanda musibah banjir serta tanah runtuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar, turut merakamkan ucapan takziah dan dukacita dengan musibah yang menimpa rakyat Sabah.

“Semoga seluruh Sabah segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda.

“Semua agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun ke lapangan membantu agensi pusat dan negeri menyantuni mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Setakat 8 pagi tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan 2,897 mangsa banjir daripada 813 keluarga masih berada di 22 pusat pemindahan sementara serta sebuah pusat pemindahan kekal.

Sementara itu, 13 terkorban dalam insiden tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, dalam kenyataan berasingan memaklumkan solat hajat akan dilaksana di tiga masjid utama, iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas
solat maghrib hari ini.

“Jakim menyeru rakyat Malaysia bersama memanjatkan doa ke hadrat Allah dengan penuh pengharapan semoga keadaan di Sabah segera pulih seperti sediakala, segala urusan mangsa bencana dipermudahkan dan rakyat Sabah khususnya serta seluruh rakyat Malaysia amnya sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.