Lebih 3,000 terjejas banjir di Sabah, Kelantan

Lebih 3,000 terjejas banjir di Sabah, Kelantan

Banjir di Perak pulih dengan 39 mangsa dibenarkan pulang selepas banjir surut sepenuhnya.

pps
Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 2,897 orang setakat 8 pagi tadi berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Kelantan meningkat melebihi 3,000 orang pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan dipetik Bernama memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,897 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat 8 pagi tadi berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.

Semuanya berlindung di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah pusat pemindahan kekal yang dibuka sejak 9 Sept lalu di lima daerah.

Menurutnya, daerah Membakut merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 931 orang daripada 277 keluarga, diikuti Penampang (809 orang, 220 keluarga) dan Putatan (559 orang, 140 keluarga).

PPS di Papar menempatkan 317 orang daripada 87 keluarga serta 281 orang daripada 89 keluarga di Beaufort.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Felda Chiku 1 dan 2, Gua Musang di Kelantan meningkat kepada 212 orang setakat 9 pagi tadi berbanding 70 orang semalam, yang semuanya ditempatkan di PPS Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2.

Keadaan banjir di Perak pulih sepenuhnya selepas PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim, daerah Muallim, yang menempatkan 39 mangsa daripada 10 keluarga ditutup 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa dibenarkan pulang selepas banjir surut sepenuhnya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan paras air di Stesen Sungai Slim, Slim River merekodkan bacaan tahap waspada 24.77m melebihi paras normal 23.50m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.