
Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, menurut Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di dewan sebuah sekolah, di Padang Besar pada kira-kira 9 pagi, 10 Julai lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 11(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792.
Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara tidak lebih tiga tahun bagi pertuduhan kedua.
Timbalan Pendakwa Raya negeri Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Ayuni Ahmad.
Terdahulu, Tengku Ruqayyah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh, namun Nur Ayuni merayu mahkamah memberikan jumlah minimum terhadap anak guamnya.
Nur Ayuni memberi alasan bahawa anak guamnya tiada pendapatan tetap selain menyara bapanya yang uzur dan kakaknya seorang ibu tunggal.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan forensik.