
Peguamnya Marwan Abdullah berkata, aduan itu susulan kegagalan syarikat memberi respons terhadap surat rayuan yang mencabar pembuangannya, walaupun Pengerusi Ahmad Kushairi Din telah memberi jaminan bahawa jawapan akan diberikan.
“Memandangkan TH Plantations gagal menjawab rayuan anak guam kami dalam tempoh masa munasabah yang diberikan, kami selanjutnya diarahkan oleh anak guam kami bahawa beliau telah menyempurnakan kesemua proses dalaman yang ada dalam mencabar penamatan perkhidmatan beliau,” kata Marwan dalam kenyataan.
Menurutnya, aduan difailkan di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perindustrian 1967, dan 30 Okt ini telah ditetapkan sebagai tarikh rundingan damai antara Zainurin dan TH Plantations.
Katanya, Zainurin menegaskan penamatan perkhidmatannya bukan sahaja dibuat secara tidak sah dan munasabah sepertimana dijamin undang-undang, malah juga bercanggah dengan prinsip Islamiah, memandangkan TH Plantations anak syarikat Lembaga Tabung Haji.
“Kami menyeru TH Plantations untuk memberikan sepenuh kerjasama semasa prosiding rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk menyelesaikan isu itu, demi kebaikan pemegang sahamnya khususnya Lembaga Tabung Haji, yang mempunyai sekitar sembilan juta pendeposit di seluruh negara,” katanya.
TH Plantations menamatkan kontrak Zainurin pada 26 Ogos atas dakwaan salah laku.
Beliau sebelum ini diarah bercuti selepas diberi surat tunjuk sebab pada 18 Julai berkaitan dakwaan pembayaran tidak sah bernilai RM5.1 juta kepada pekerja ladang melibatkannya dan ketua pegawai kewangan ketika itu, Marliyana Omar.
Marliyana kemudian meletak jawatan secara sukarela.
Zainurin memegang jawatan sebagai CEO syarikat itu sejak Oktober 2021.