70 terjejas banjir di Felda Chiku, Gua Musang

70 terjejas banjir di Felda Chiku, Gua Musang

Hujan lebat menyebabkan lebih 50 rumah di Felda Chiku 1 dan 2 dinaiki air.

banjir felda chiku
Keadaan banjir yang melanda Felda Chiku 1 dan 2 di Gua Musang semalam. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Kira-kira 70 penduduk Felda Chiku 1 dan 2 di Gua Musang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi selepas kawasan itu dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Mohd Adzhar Mujab, berkata pihaknya menerima laporan limpahan air di kawasan penempatan itu kira-kira 6 petang, sebelum mengarahkan pemindahan mangsa ke PPS berdekatan sebagai langkah keselamatan.

Tegasnya, situasi tidak membimbangkan, namun orang awam dinasihatkan tidak berada atau bermain di kawasan berisiko.

“Jika keadaan bertambah baik, semua mangsa boleh pulang atau gotong-royong akan diadakan (hari ini),” katanya kepada Bernama.

Hujan lebat mengakibatkan lebih 50 rumah di Felda Chiku 1 dan 2 dinaiki air, dengan penduduk memaklumkan air mula melimpah ke kediaman mereka malam tadi.

Penduduk, Razali Daud, 73, berkata hujan lebat kira-kira sejam setengah menyebabkan air memasuki ruang dapur rumahnya.

“Air mula memasuki bahagian dapur kira-kira 6.30 petang dan sehingga kini paras air terus meningkat kerana hujan belum berhenti. Situasi sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini. Biasanya walaupun hujan lebat lama, air tidak pernah masuk ke dalam rumah.”

Seorang lagi penduduk, Shamsaziela Mohd Ghazali, 35, yang kini berada di PPS, berkata beliau bersama 30 ahli keluarga ditempatkan di Dewan Chiku 2 kira-kira 8.30 malam tadi.

“Sebelum meninggalkan rumah, air di hadapan sudah mencecah paras pinggang orang dewasa. Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.