4 ditahan, polis rampas dadah hampir RM600 juta

4 ditahan, polis rampas dadah hampir RM600 juta

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata rampasan dilakukan dalam beberapa serbuan di Lembah Klang baru-baru ini.

Sidang Media Rampasan
Polis menunjukkan dadah yang dirampas dalam siri serbuan Lembah Klang, dikaitkan dengan sindiket dadah antarabangsa.
KUALA LUMPUR:
Polis merampas dadah sintetik MDMA seberat 3,586.45kg bernilai RM598.9 juta dalam beberapa serbuan di Lembah Klang yang dikaitkan dengan satu sindiket dadah antarabangsa.

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di beberapa premis di Kepong dan Selayang pada 10 Sept lalu juga membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata serbuan pertama dan kedua di kawasan perindustrian serta premis di Kepong menemukan pelbagai bahan kimia serta peralatan memproses dadah.

“Dalam serbuan pertama itu, polis merampas 3,330kg MDMA cecair, 1,200kg bahan kimia cecair, 213.7kg bahan kimia serbuk, serta peralatan memproses dadah. Tiga suspek ditahan.

“Serbuan kedua di premis lain di Kepong menemui 75.3kg serbuk MDMA, 231.15kg cecair, 947.35kg bahan kimia cecair, 52.4kg bahan kimia serbuk, serta lebih banyak peralatan memproses dadah.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di Selayang membawa kepada penahanan suspek keempat, namun tiada dadah ditemui di lokasi itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata dadah tersebut diproses dalam negara dan kemungkinan besar untuk diedarkan bagi pasaran domestik dan luar negara seperti Indonesia dan Australia.

Katanya, dadah berkenaan boleh digunakan lebih 12 juta orang sekiranya sempat sampai ke pasaran dan sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak Julai dengan menyewa premis industri sebagai makmal dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.