
Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, berkata perbincangan akan dilakukan dengan Adun Limbahau, Juil Nuatim bagi menyelaras bantuan kepada keluarga terjejas.
Menurutnya, perbincangan juga akan diadakan dengan keluarga terjejas bagi menempatkan mereka sama ada di rumah projek perumahan rakyat (PPR) atau rumah sewa, sementara penilaian risiko dijalankan di kawasan kediaman asal terletak berhampiran cerun bukit.
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata, penilaian risiko di lokasi kejadian akan dijalankan segera bagi menentukan tahap keselamatan kawasan terbabit.
“Buat sementara ini, kita tempatkan kedua-dua keluarga di balai raya Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul yang dijadikan sebagai pusat penempatan sementara.
“Langkah ini bagi memastikan keselamatan mereka sementara menunggu pembaikan rumah selesai. Kita akan bantu meringankan beban ditanggung mereka,” katanya menurut Berita Harian di PPS Dewan Lok Kawi Height, Papar.
Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah mengumumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) antara RM1,000 hingga RM10,000 akan disalurkan kepada mangsa bencana di Sabah bagi meringankan beban mereka.
Menurutnya RM1,000 akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala waris mangsa korban akibat bencana akan menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.
Media melaporkan lima mangsa maut dalam dua kejadian tanah runtuh berasingan, iaitu dua di Kampung Mook dan tiga di Kampung Marahang Tuntul.