
Jabatan Ketua Menteri Sabah berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Hajiji Noor kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman, hari ini.
“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) diarahkan sentiasa bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan berubah disebabkan cuaca buruk berpanjangan.
JPBN yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah terjejas.
Hajiji menyeru orang ramai terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat.
Terdahulu, Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menggesa kerajaan gesaan membatalkan sambutan Hari Malaysia esok susulan banjir berterusan yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air berleluasa, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Katanya, sumber yang digunakan untuk sambutan Hari Malaysia sepatutnya digunakan bagi membantu mangsa banjir.
Terdahulu, JPBN memaklumkan 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara dan sebuah pusat pemindahan kekal di negeri itu setakat 8 pagi tadi.
Sebanyak 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort terjejas akibat banjir.