
Gabungan Penduduk Kuala Lumpur dan Pembangunan Mampan (KLRA+SD) turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan penggunaan Garis Panduan Pembaharuan Kuala Lumpur untuk meluluskan projek pembangunan semula.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata beberapa kawasan kejiranan di Kuala Lumpur telah dihampiri pemaju untuk projek pembangunan semula sejak kerajaan mengumumkan rancangan membentangkan rang undang-undang itu pada awal 2024.
Ketiadaan garis panduan rasmi dikeluarkan serta kurangnya pendidikan awam mengenai undang-undang dicadangkan itu berpotensi memberi ruang kepada pemaju melakukan manipulasi, katanya.
KLRA+SD berkata kawasan seperti Cheras dan Seputeh telah menjadi tumpuan dengan pelbagai komuniti dihampiri pemaju untuk mendapatkan persetujuan pembangunan semula.
Ia menambah, dalam beberapa kes, penduduk dihampiri tanpa surat kebenaran daripada kerajaan.
“Tanpa garis panduan jelas dan program kesedaran daripada kerajaan, proses ini malangnya merugikan kumpulan rentan seperti pesara dan warga emas, yang tidak mempunyai kemampuan untuk memahami hak mereka sebagai pemilik,” katanya.
Kumpulan itu turut menggesa kerajaan supaya tidak mengiktiraf secara retroaktif sebarang hasil rundingan yang tidak dikawal selia apabila undang-undang baharu dikuatkuasakan.
“Bagi kes yang memerlukan perhatian segera, kerajaan perlu bertindak sebagai perantara untuk menyediakan penyelesaian,” katanya.
Minggu lalu, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mendakwa terdapat pemaju yang memperdaya penduduk Kuala Lumpur untuk menandatangani ‘borang kaji selidik’ yang akhirnya boleh menjejaskan hak milik harta mereka.
Mukhriz berkata penduduk telah ditanya tentang jenis kemudahan yang mereka harapkan dan diminta menandatangani borang terbabit tanpa penjelasan jelas mengenai butiran kecil di bahagian bawah.
Beliau mendakwa tandatangan mereka akan dianggap sebagai persetujuan untuk menyerahkan tanah atau rumah mereka bagi tujuan pembangunan semula.
RUU Pembaharuan Bandar telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama pada akhir bulan lalu, tetapi kini akan dipinda bagi mencerminkan peraturan persetujuan baharu selepas cadangan undang-undang itu dibantah Ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.
Ia memperincikan tiga jenis projek – pembangunan semula yang melibatkan meroboh dan membina semula projek perumahan; pemulihan semula yang melibatkan kerja-kerja membaik pulih atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai; manakala menggiatkan semula merujuk kepada menaik taraf atau memperbaiki sesuatu kawasan tanpa merobohkannya.