Langkawi dikhuatiri terus ‘dilupakan’ jika tiada produk inovatif, kata pakar

Langkawi dikhuatiri terus ‘dilupakan’ jika tiada produk inovatif, kata pakar

Mohd Hafiz Mohd Hanafiah berkata Langkawi berdepan cabaran serius menarik pelancong khususnya dari dalam negara berikutan kos tinggi dan kurang produk pelancongan baharu.

langkawi
Pakar berkata jenama Langkawi masih kuat namun pulau bebas cukai itu kini mengalami kekurangan pembaharuan pengalaman untuk pelawat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkawi berisiko terus ketinggalan berbanding destinasi pelancongan serantau seperti di selatan Thailand dan Indonesia jika langkah drastik tidak diambil segera pihak berwajib, kata pakar.

Mohd Hafiz Mohd Hanafiah berkata, Langkawi ketika ini berdepan cabaran serius dalam menarik pelancong khususnya dari dalam negara berikutan kos tinggi dan kekurangan produk pelancongan baharu.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan, Langkawi tidak mempunyai tawaran pelancongan menyeluruh kerana tumpuan masih berkisar pada elemen pantai dan zon bebas cukai.

“Fakta di lapangan menunjukkan harga hotel, makanan dan aktiviti di Langkawi lebih tinggi berbanding destinasi seperti Hatyai, Krabi atau Bali.

“Tiada pembaharuan ketara dalam infrastruktur perkhidmatan makanan dan pengangkutan. Siapa sebenarnya pemasar utama Langkawi pun tidak jelas. Bila pemasaran tidak konsisten, maka tarikan baharu pun gagal ditonjolkan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis yang mendedahkan kadar tempahan hotel di Langkawi pada cuti sekolah dan Hari Malaysia kekal rendah iaitu sekitar 60%.

Pengerusinya Eugene Dass berkata, cuti sekolah kini tidak memberi kesan ketara terhadap tempahan hotel, sambil menambah isu harga makanan, logistik, jadual feri dan tambang penerbangan tinggi antara faktor pelancong menangguhkan percutian ke pulau itu.

Mengulas perkembangan itu, Hafiz berkata jenama Langkawi masih kuat, namun pulau bebas cukai itu kini mengalami ‘experience fatigue’ atau kekurangan pembaharuan pengalaman untuk pelawat.

“Pelancong rasa ‘dah pernah pergi’, tiada yang baharu. Mereka yang pernah ke Langkawi tidak teruja untuk kembali kerana produk dan pengalamannya tidak berubah,” katanya.

Katanya, destinasi seperti Hatyai dan Bali memanfaatkan acara tahunan, festival dan pelancaran produk baharu untuk menarik pelancong berulang, sementara Langkawi dilihat tidak menyokong kepelbagaian segmen seperti pelancongan kesihatan, pendidikan (edutourism), sukan air moden, atau ‘night economy’.

Hafiz mencadangkan pihak berkaitan memperkenalkan insentif pelancongan seperti ‘School Holidays Pass’ atau menganjurkan acara tahunan berskala besar seperti festival muzik, temasya sukan atau ekspo keluarga.

“Langkawi perlukan penjenamaan semula. Sudah sampai masa ‘Langkawi Blueprint’ dikaji semula dan dimasukkan elemen eco-wellness, geopark edutourism, dan pembangunan ekonomi malam,” katanya.

Beliau turut menyarankan kerjasama sektor awam-swasta bagi memulihkan imej dan tarikan pelancongan Langkawi.

Katanya, jika situasi ini tidak ditangani, kesannya bukan sahaja kepada statistik pelancongan, tetapi juga kepada ekonomi komuniti tempatan yang bergantung hampir sepenuhnya kepada sektor tersebut.

“Lebih 70% ekonomi Langkawi bergantung pada pelancongan. Tempahan rendah akan menyebabkan operator memotong kos kesannya adalah pengalaman pelancong merosot, perkhidmatan bot tidak terurus, inap desa kosong, pemandu teksi terkesan,” katanya.

Menurutnya, imej destinasi akan turut terjejas melalui ulasan negatif dan perkongsian di media sosial sekali gus menjejaskan reputasi Langkawi dalam jangka panjang.

“Langkawi sebelum ini jadi rujukan negara Asean lain tetapi kini mereka sudah potong kita lebih cepat, lebih inovatif. Kalau kita lambat bertindak, Langkawi akan terus jauh ketinggalan,” katanya.

Baik pulih pusat tumpuan, jangan bina projek baharu

Sementara itu, seorang pengusaha pelancongan di Langkawi, Nurzawana Arsyad berkata banyak tarikan pelancongan di pulau tersebut kini suram dan tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan pelancong semakin hilang minat untuk kembali.

“Contohnya, pusat tumpuan Ayer Hangat yang satu-satunya sumber air panas semulajadi di Langkawi, sudah lama tutup.

“Pada awalnya dimaklumkan akan dibaik pulih, tapi sehingga hari ini tidak dibuka semula. Ini antara tarikan lama yang patut diberi perhatian,” katanya.

Nurzawana berkata, pengusaha kecil sepertinya yang turut menawarkan perkhidmatan inap desa, kereta sewa dan pakej ‘island hopping’ kini hanya bergantung kepada tempahan semasa musim cuti sekolah.

“Kalau musim cuti sekolah, penuh. Tapi hari biasa memang perlahan. Kadang-kadang hujung minggu pun kosong,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan dan agensi berkaitan memberi keutamaan kepada penambahbaikan produk pelancongan sedia ada termasuk kemudahan asas dan infrastruktur.

“Tak perlu buat produk baharu setiap masa. Yang lama pun banyak yang terbiar. Pelancong datang tempat sama saja – kereta kabel, Pantai Cenang. Baik pulih dan naik taraf apa yang dah ada pun cukup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.