Keharmonian kaum di Malaysia tiada tandingan, menurut buku

Keharmonian kaum di Malaysia tiada tandingan, menurut buku

Bagaimanapun, kemesraan dan keakraban yang wujud dalam lingkungan peribadi dicemari naratif perkauman yang berleluasa dalam ruang awam.

Buku ‘Notes to Me and You’ yang ditulis wartawan Yap Koon Hong menggambarkan keharmonian dan persahabatan antara tiga kaum di Malaysia sebagai satu ‘pencapaian luar biasa’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya segelintir masyarakat di dunia yang mampu menandingi kemesraan, keakraban dan perpaduan yang ditunjukkan oleh tiga kaum utama di Malaysia, menurut seorang bekas editor kanan Straits Times dalam sebuah buku terbaharunya.

Yap Koon Hong berkata hubungan antara orang Melayu, Cina dan India biasanya mesra, akrab serta saling bertolak ansur — khususnya dalam lingkungan peribadi.

Beliau berkata keharmonian dan persahabatan antara kaum yang terbentuk secara semula jadi ini merupakan satu ‘pencapaian luar biasa’ memandangkan setiap kaum mempunyai perbezaan besar dari segi sejarah, agama dan budaya, termasuk soal makanan serta kepercayaan spiritual.

“Tidak timbul masalah apabila ketiga-tiga kaum duduk semeja menikmati makanan bersama kerana masing-masing menghormati pegangan agama dan budaya yang lain,” tulis Yap dalam bukunya bertajuk ‘Notes To Myself And You’.

Wartawan veteran itu berkata orang Melayu diiktiraf di seluruh dunia sebagai model progresif Islam, berdasarkan rasa hormat serta ruang yang diberikan kepada bukan Melayu dalam mengamalkan agama masing-masing.

Ciri ini diperkukuhkan lagi dengan semangat keramahan dan kejiranan mereka — satu sifat yang kurang diberi perhatian dan sering diselindungkan oleh stereotaip Barat terhadap Islam.

Yap berkata masyarakat Cina, India dan bukan Islam lain di Malaysia — termasuk sebahagian besar penganut Kristian — menerima dan menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama rasmi negara.

Pengiktirafan ini penting, katanya, memandangkan sikap tidak tahu serta permusuhan terhadap Islam yang masih wujud di negara majoriti Kristian di Barat.

“Perpaduan sosial-agama yang unik di Malaysia ini, berasaskan tolak ansur dan rasa hormat mendalam antara tiga kaum utama, jarang ditemui di mana-mana di dunia dan sering terlepas pandang di luar negara.”

Namun begitu, Yap berkata hubungan antara ketiga-tiga kaum ini bersifat dwifungsi.

Walaupun dalam linkungan peribadi ia menjadi satu ‘nikmat untuk dirasai dan disaksikan’, pencapaian itu dinafikan oleh naratif yang wujud di ruang awam.

Beliau kesal kerana politik menanamkan prasangka mendalam, kecurigaan serta perasaan tidak seimbang dan tidak adil antara kaum, hingga mewujudkan jurang yang menolak mereka ke arah ‘lorong buntu pemikiran perkauman’.

Politik yang memecahbelahkan ini, katanya, mencetuskan pertikaian antara Melayu, Cina dan India — satu kekeliruan yang perlu diperbetulkan.

“Penyelesaiannya memerlukan usaha yang menekankan unsur positif, dengan menangkis kecenderungan negatif yang wujud dalam setiap kaum terhadap yang lain, sebelum menuju ke arah perbincangan ikhlas bagi menyelesaikan masalah.”

Notes To Myself And You by Yap Koon Hong
‘Notes To Myself And You’ boleh didapati di Amazon Prime dalam bentuk e-buku, manakala versi bercetak hanya dijual di Malaysia dan Singapura melalui pembelian dan penghantaran terus.

Mereka yang ingin membeli buku tersebut pada harga RM60 boleh menghubungi [email protected] atau menelefon +6017 3350 855.

Anda juga boleh menghubungi CK Yap di +6012 7932 366.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.