
Beliau berkata, pelbagai cabaran baharu umpamanya kebencian, polarisasi dan fitnah tersebar di media sosial yang boleh menggugat asas perpaduan serta berpotensi merosakkan hubungan antara kaum dan agama.
Menurut Aaron, ia berpunca daripada sikap segelintir pihak yang menyalahgunakan teknologi untuk menyebarkan keburukan dan bukannya kebaikan.
“Maka saya menyeru seluruh rakyat agar lebih bijak dan berhemah dalam menggunakan media sosial. Janganlah kita menjadi penyambung kepada berita palsu dan penyebar kepada ujaran kebencian.
“Sebaliknya, marilah kita jadikan ruang digital sebagai medan untuk menyebarkan kasih sayang, menyatukan masyarakat, serta memperkukuh semangat Malaysia Madani yang mementingkan nilai saling menghormati dan menyantuni antara satu sama lain,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Malaysia ke-62.
Dalam pada itu, Aaron berkata pembentukan Malaysia pada 1963 merupakan hasil usaha pejuang seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Abdul Razak Hussein dan pemimpin lain dari pelbagai kaum seperti Tan Cheng Lock.
Pengorbanan dan keberanian rakyat jelata seperti Temenggung Jugah Anak Barieng dari Sarawak dan Sedomon Gunsanad Kina dari Sabah juga wajar dikenang.
“Saya memilih untuk berkongsi kisah ini kerana ia amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang menegaskan bahawa rakyatlah sebenarnya tonggak kekuatan negara.
“Tanpa sumbangan rakyat, sama ada kecil ataupun besar, perjuangan kemerdekaan dan pembangunan Malaysia hari ini tidak mungkin menjadi kenyataan,” katanya.
Tambahnya, kementerian menerusi Arkib Negara Malaysia turut melancarkan inisiatif Arkib Komuniti tahun ini, yang diperluaskan kepada usaha mengumpul bahan-bahan sejarah dan warisan yang banyak tersimpan di peringkat rakyat biasa.
“Inisiatif ini bertujuan membantu komuniti dalam proses mengumpul, memperoleh, memelihara dan mendokumentasikan sejarah serta warisan tempatan.
“Hal ini penting kerana kadangkala maklumat berharga lebih banyak tersimpan dalam ingatan rakyat generasi terdahulu, khususnya warisan keluarga, yang mampu melengkapkan rekod sejarah negara,” katanya.