Hajiji turun padang, tinjau keadaan mangsa bencana

Hajiji turun padang, tinjau keadaan mangsa bencana

Ketua Menteri Hajiji Noor mendengar taklimat oleh pihak berkuasa tempatan dan mengagihkan bantuan kepada ketua isi rumah.

HAJIJI PPS SABAH
Ketua Menteri Hajiji Noor bersama mangsa bencana di PPS Kampung Sarapung, di Penampang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor turun padang untuk meninjau situasi banjir dan tanah runtuh, dan keadaan mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang dan Putatan.

Di PPS Kampung Sarapung, Hajiji mendapatkan maklumat dari lapangan menerusi taklimat Majlis Perbandaran Penampang, dan kemudian mengagihkan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada 40 ketua isi rumah.

Hajiji berkata bantuan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah ini bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terjaga sepanjang berada di PPS, dan meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” lapor Bernama.

Hajiji berkata beliau mahu melihat secara dekat situasi bencana di beberapa lokasi terjejas.

“Kerajaan akan bagi bantuan satu dua hari ini. Semua mangsa banjir dan tanah runtuh kami akan bagi bantuan kerajaan negeri dan persekutuan. Yayasan Kebajikan Negeri juga akan memberikan bantuan,” katanya.

Para wakil rakyat dan pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah diingatkan supaya memantau situasi di kawasan masing-masing secara rapat.

“Bukan saja banjir, malah berlaku tanah runtuh. Bekalan elektrik dan air juga terputus, agak teruk kali ini. Sebab itu kami batal sambutan Hari Malaysia esok kerana kami lebih prihatin untuk bantu mangsa,” katanya.

Hajiji merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, sukarelawan, dan agensi kerajaan yang bertungkus lumus membantu mangsa bencana dan menguruskan PPS, menekankan kepentingan kerjasama erat.

Beliau turut berterima kasih atas tambahan RM10 juta yang diluluskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini, untuk disalurkan terus kepada mangsa.

Dana tersebut tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang disediakan kerajaan Sabah bagi menangani bencana.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memaklumkan keadaan banjir, tanah runtuh dan kebakaran di enam daerah di Sabah semakin meruncing sejak 9 Sept lepas, selain menjejaskan prasarana dan utiliti kritikal.

Daerah terkesan ialah Tawau (59 mangsa), Penampang (425), Membakut (202), Beaufort (177), Papar dan Putatan yang masing-masing masih dikemas kini ketika laporan Bernama dihantar.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan 863 mangsa melibatkan 220 keluarga di sembilan PPS, menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negara bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara, setakat 4.30 petang tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.