
Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata keadaan itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air berleluasa, khususnya di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, sumber yang digunakan untuk sambutan Hari Malaysia sepatutnya digunakan bagi membantu mangsa banjir di Sabah.
“Krisis ini menuntut perhatian segera dan tidak berbelah bahagi daripada semua peringkat kerajaan. Untuk benar-benar menghormati semangat Hari Malaysia, bencana ini perlu diisytihar krisis peringkat nasional.
“Ini bukan masanya untuk mengadakan sambutan. Ia masa untuk mobilisasi. Penduduk Kota Kinabalu, Penampang dan Pantai Timur Sabah amat memerlukan tempat tinggal, makanan, air bersih, bantuan perubatan serta pemulihan segera kemudahan asas,” katanya dalam kenyataan.
Menteri pembangunan perindustrian Sabah itu berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan Sambutan Ambang Merdeka 2024 sebagai menghormati mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Beliau berkata, kerajaan Selangor turut membatalkan sambutan Aidilfitri peringkat negeri tahun ini susulan kebakaran akibat letupan saluran paip gas di Putra Heights.
“Tindakan ini mencerminkan kepimpinan yang meletakkan belas kasihan mendahului sambutan perayaan dan prinsip sama perlu diterapkan di Sabah.
“Kami menggesa agensi negeri dan persekutuan, termasuk pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kebajikan meningkatkan usaha membantu keluarga terjejas.
“Peruntukan sumber tambahan, penempatan kakitangan dan sokongan kecemasan pantas diperlukan dengan segera untuk mengurangkan kesulitan selanjutnya.
“Membatalkan sambutan Hari Malaysia adalah cara paling bermakna untuk meraikan perayaan kebangsaan ini dengan melindungi nyawa, mengutamakan kebajikan rakyat dan memulihkan perkhidmatan penting,” kata Adun Luyang itu.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara dan sebuah pusat pemindahan kekal di negeri itu setakat 8 pagi tadi.
Sebanyak 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort terjejas akibat banjir.