
“PAS menerima kemasukan ahli baharu amat memberangsangkan antara 2,000 hingga 3,000 setiap bulan secara konsisten dan keahlian PAS kini mencecah sekitar 1.3 juta orang,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 di sini.
Pada masa sama, beliau mengumumkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) secara rasminya merupakan ahli bersekutu parti itu, setanding sayap lain.
“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan PAS mulai 8 Ogos lalu, syarat menjadi ahli bersekutu selain warganegara, mereka hendaklah beragama selain Islam.
“Semua ahli DHPP sebelum ini berstatus rakan PAS akan secara automatik diserap sebagai ahli bersekutu PAS. DHPP kini secara rasmi sayap baharu bersama Assabiqun serta tiga sayap lain – Ulama, Muslimat dan Pemuda.”
Untuk rekod, PAS meminda perlembagaannya untuk DHPP menjadi ahli bersekutu parti itu pada muktamar tahun lalu supaya ahli bukan Islam boleh mengundi dalam pemilihan parti.
Sementara itu, Takiyuddin dalam sidang media berkata, DHPP kini mempunyai 10,000 ahli.
“Jumlah 1.3 juta ahli PAS itu tidak termasuk ahli DHPP lagi. Bila kita serap nanti, ia akan bertambah lagi.”
Beliau berkata, perwakilan DHPP layak mengundi dalam pemilihan parti akan datang kerana JPPM baru meluluskan pindaan perlembagaan PAS bulan lalu.