
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, barang kemas itu antara barangan mewah yang disita hasil daripada penggeledahan menerusi Op Rentas.
Katanya, SPRM Selangor membuat sitaan terhadap pelbagai harta hasil wang rasuah dalam operasi pada 9 dan 11 Sept lalu.
“Pemilik barangan mewah itu adalah pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di lapangan terbang.
“Mereka dipercayai menerima wang daripada ejen-ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, antara barangan lain yang turut disita ialah sebidang lot tanah, rumah, beberapa kenderaan mewah, pelbagai beg tangan dan 20 jam tangan berjenama bernilai RM100,000 serta wang tunai RM20,000.
Katanya, SPRM juga membeku sebanyak 70 akaun bank yang menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah kira-kira RM3.3 juta.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.