
Wong yang menjadi ahli Parlimen sejak 2013 berkata pejabatnya menerima satu e-mel pada Jumaat mengandungi tangkap layar video lucah diubahsuai dengan wajahnya, serta kod QR yang menuntut bayaran sebanyak USD100,000.
“Saya menjadi Ahli Parlimen selama 13 tahun, kini berkhidmat untuk penggal ketiga. Tidak pernah saya menjadi sasaran ugutan sehingga Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ironinya, sebagai seorang wakil rakyat PKR dalam kerajaan Madani, saya secara peribadi berasa kurang selamat sebagai penggubal undang-undang, berbanding ketika menjadi pembangkang dalam kerajaan terdahulu.”
Merujuk emel serupa diterima bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, Wong berkata tidak mustahil mereka memang disasarkan pada hari yang sama.
“Selain muka kami, kedua-dua gambar itu adalah sama, daripada lipatan bantal dan selimut, hinggalah bilik, katil dan individu berbogel dalam gambar tersebut.
“Dalam erti kata lain, orang yang sama cuba mengugut kami berdua, tetapi secara berasingan.
“Cubaan ugutan ini yang kelihatan terlalu palsu dan dilakukan dengan sangat cuai membuatkan saya lebih bimbang,” katanya.
Beliau berkata pejabatnya segera membuat laporan polis, dan beliau juga mendapatkan bantuan pakar IT dan mata wang kripto untuk menjejak akaun di sebalik ugutan itu.
Beliau turut bercadang menggesa Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti supaya mendedahkan butiran kenali-pelanggan (know-your-customer) yang boleh membantu mengenal pasti dalang emel itu.
Wong berkata beliau juga berkongsi kebimbangan seperti Rafizi bahawa serangan itu mungkin bertujuan untuk mengakses peranti elektronik mereka.
Katanya, insiden menjadi petanda wujudnya usaha lebih besar untuk menutup mulut wakil rakyat atau melemahkan demokrasi berparlimen.
“Saya tidak akan berundur. Saya akan terus melaksanakan tugas dan menyuarakan pandangan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.