
Mengulas sasaran Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah itu, perwakilan Dewan Ulama dari Kuala Terengganu Wan Faizol Wan Abbas berkata aspek calon penting untuk mengelak kekecewaan pengundi, selain memastikan imej parti Islam terus dihormati.

“Calon mewakili PAS mesti ‘walk the talk’, manifesto kena laksanakan…kalau janji nak bina mesin ATM walaupun nampak kelakar wajib tunaikan,” katanya kepada FMT sambil menambah pengumuman awal individu membawa cabaran parti pada PRU juga perlu dipertimbang.
Semalam, Mohd Amar mengumumkan sasaran parti itu untuk menang 80 kerusi Parlimen pada PRU16 dalam misi kembali menerajui Putrajaya.
Sementara itu, perwakilan dari Tasek Gelugor, Mohd Zamadi Omar pula menekankan PAS mesti menembusi kawasan majoriti bukan Melayu bagi menepis persepsi negatif masih wujud.
“Jentera perlu dimantapkan untuk meyakinkan pengundi baharu dan yang masih ragu-ragu. Kita mesti menakluk ‘kawasan hitam’ bagi PAS,” katanya.

Tan Chin Khoon, perwakilan Dewan Ulama dari Lahad Datu turut senada dengan Zamadi, menyatakan kepimpinan PAS perlu memecahkan tembok prejudis golongan bukan Islam terhadap parti itu untuk menang kawasan Parlimen bercampur.
“Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) perlu meningkatkan peranan menyakinkan bukan Melayu supaya tidak bersangka buruk kepada PAS.
“PAS juga perlu perbanyak program dengan NGO bukan Melayu selain sampaikan mesej politik matang dan sejahtera,” katanya mencadangkan perkara itu kepada pimpinan.

Perwakilan Muslimat Kinabatangan Nur Shahirah Salasain menegaskan sasaran PAS memenangi 80 kerusi bukan angan-angan kosong kerana mendakwa keadaan politik semasa tidak memihak kepada kerajaan.
“PAS perlu jadi alternatif kerana parti ini tidak masuk politik untuk mengisi poket, kita ada matlamat jelas ikut tuntutan Islam iaitu adil untuk semua,” katanya.

Perwakilan dari Bagan Suhaila Yusof pula berkata cita-cita ke Putrajaya hanya akan berjaya jika jentera PAS bekerja keras sejak awal dan tidak menunggu musim pilihan raya.
Beliau menegaskan sasaran 80 kerusi adalah motivasi buat ahli parti, malah menyifatkan PAS sebagai antara parti paling bersih kerana tiada pemimpinnya didakwa rasuah sehingga kini.