Hari Malaysia simbol perpaduan dalam kepelbagaian, kata Ismail Sabri

Hari Malaysia simbol perpaduan dalam kepelbagaian, kata Ismail Sabri

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak harus lagi wujud jurang antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob berkata negara mesti membina budaya perpaduan antara kaum yang wujud di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
PETALING JAYA:
Hari Malaysia memperingati penyatuan tiga wilayah berbeza – Semenanjung, Sarawak dan Sabah – yang masing-masing memiliki identiti budaya, pandangan hidup dan cara hidup tersendiri, kata bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata meskipun ketiga-tiga wilayah itu berbeza dari banyak segi, sambutan bersejarah itu memberi peringatan kepada semua berhubung komitmen bersama ke arah perpaduan yang menjadi kunci perpaduan.

“Hari Malaysia adalah hari memupuk penyatuan antara kaum, etnik dan budaya berbeza,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

Ismail, yang memperkenalkan gagasan ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbirannya, menyeru nilai perpaduan dalam kepelbagaian ini diterapkan kepada generasi muda.

“Ini supaya bila mereka tidak merasa perbezaan walaupun berada di tiga wilayah berbeza,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata pengiktirafan Hari Malaysia sebagai cuti umum menunjukkan kepentingan mengingati pembentukan persekutuan pada 16 September 1963.

“31 Ogos 1957 menandakan kemerdekaan daripada British, manakala pembentukan Malaysia pula kemerdekaan wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya.

Namun perdana menteri kesembilan itu mengakui masih wujud jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

Katanya, masih banyak sekolah daif di Sabah dan Sarawak, selain jumlah klinik kesihatan yang lebih rendah berbanding Semenanjung.

“Dari segi infrastruktur, jurangnya amat ketara. Sebab itu ketika saya menjadi perdana menteri, kita tubuh jawatankuasa khusus kepada Sabah dan Sarawak untuk rapat jurang perbezaan,” katanya.

Ismail yang pernah mempengerusikan majlis khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata pentadbirannya telah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengangkat semula kedudukan Sabah dan Sarawak.

Pindaan diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember 2021 dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen itu mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah berbeza dalam Malaysia, bukan sekadar negeri biasa dalam persekutuan.

Beliau berkata segala usaha pentadbirannya untuk merapatkan jurang pembangunan itu mempunyai satu matlamat utama.

“Kita mahu rakyat Malaysia, terutama di Semenanjung, sedar betapa pentingnya Sabah dan Sarawak kepada Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.