
Syed Saggaf Syed Ahmad, ketua pegawai eksekutif Shapadu Energy Services Sdn Bhd, memetik suatu kajian oleh Jabatan Perangkaan bahawa terdapat lebih 2,000 vendor yang aktif dalam ekosistem tersebut, di samping Petronas.
Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) ini memberi kejelasan baharu kepada agenda membina negara, dengan mengambil kira ribuan pihak yang terbabit dalam membekalkan perkhidmatan dan peralatan.
Menurut Syed Saggaf, 70% daripada 130 juta jam-manusia (man-hour) yang dilaburkan untuk mencapai 18 ‘first-oil/first-gas’ (pengeluaran pertama minyak atau gas) datangnya daripada pembekal perkhidmatan dan peralatan (OGSE) pada 2023.
Beliau menjelaskan OGSE ini, antara lain, ialah vendor yang membekal, menyediakan perkhidmatan, membuat pentauliahan, dan fabrikasi.
“Segmen OGSE ini begitu penting. Kadang-kadang bila kita cerita tentang minyak dan gas ini, orang selalu nampak syarikat-syarikat teratas seperti Petronas dan Shell, tapi sebenarnya OGSE ini kita lihat sebahagian daripada agenda membina negara,” katanya kepada hos audio siar ‘Keluar Sekejap’, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Terdahulu, Khairy ketika membuka segmen, menggambarkan sektor minyak dan gas berjaya mewujudkan rantaian nilai domestik yang paling menyeluruh, berbanding sektor lain termasuk semikonduktor dan minyak sawit.
“Kita bukan hanya berjaya dari segi huluan dan hiliran, dan ini banyak dibantu oleh bukan hanya Petronas tetapi semua yang terlibat dalam industri minyak dan gas,” kata bekas menteri persekutuan itu, mengingatkan sektor ini dibangunkan sejak 1970-an.
“Ia bukan hanya soal sumbangan kepada kantung kerajaan. Kalau kita tengok pada rantaian nilai domestik, minyak dan gas sebenarnya antara kisah kejayaan kita di mana kita telah bina kapasiti dari hulu sampai ke hilir.”
Menyahut pandangan Khairy, Shahril berkata beberapa negara lain merasakan industri berkisar huluan sudah memadai, sekadar mendapatkan kewangan dengan mengurus huluan dan menjual hak kepada syarikat antarabangsa.
“Rantaian nilai itu menjadi salah satu petunjuk prestasi utama (bagi Malaysia), bukan hanya perolehan jangka pendek tetapi kejayaan jangka panjang. Yang itu kita jarang ada dalam Malaysia,” katanya.
Mengulas program pembiayaan atau pembangunan vendor, Syed Saggaf menepis anggapan vendor menerima wang daripada Petronas atau ihsan syarikat minyak dan gas negara untuk berniaga, mengatakan vendor masih perlu membuat pelaburan sendiri, manakala Petronas sekadar memudahkan mereka mendapatkan pembiayaan bank.
“Jangan memandang rendah daya tahan segmen OGSE ini kerana kita berjaya hadapi tiga, empat krisis sejak 2014 sejak krisis harga minyak,” katanya.