Tunggu inkues selesai, peguam Zara nasihat tangguh himpunan solidariti

Tunggu inkues selesai, peguam Zara nasihat tangguh himpunan solidariti

Mereka berkata ia sejajar hasrat ibu Zara Qairina Mahathir selain mengelak risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues.

Justice for Zara Qairina
Kumpulan peguam ibu Zara Qairina Mahathir zahir penghargaan kepada orang ramai berkait gelombang #JusticeForZara dan sumbangan derma bagi melantik pakar bagi prosiding inkues.
PETALING:
Peguam mewakili ibu Zara Qairina Mahathir memohon semua bentuk perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai.

Dalam kenyataan bersama, pasukan peguam berkenaan berkata permintaan itu selaras dengan hasrat ibu Zara, selain bagi mengelak risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues.

Kenyataan itu turut menyebut mereka sedia maklum beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan di perhimpunan dan komen di media sosial berkaitan gelombang #JusticeForZara.

“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Sehubungan itu, kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara.

“Kami memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di media sosial tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan,” katanya.

Kumpulan peguam itu juga menzahirkan penghargaan kepada orang ramai dalam gelombang #JusticeForZara dan sumbangan derma bagi menampung kos pelantikan pakar bagi kes berkenaan.

Mereka berkata, sebarang perhimpunan solidariti boleh diteruskan setelah prosiding inkues selesai sepenuhnya.

Zara meninggal dunia di hospital pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berdekatan longkang asrama sekolahnya, di Papar.

Susulan dakwaan berlaku pembulian, Pejabat Peguam Negara pada 8 Ogos mengarahkan kubur pelajar Tingkatan Satu itu digali semula bagi bedah siasat, sebelum mengumumkan akan dilakukan inkues mengenai kematiannya.

Inkues diketuai Koroner Amir Shah Amir Hassan, akan bersambung pada 17 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.