
Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata kerjasama terbabit dizahirkan melalui kerjasama berlandaskan prinsip Sabah mempunyai suara, penyertaan dan perkongsian hasil lebih besar.
“Kita tiada niat meruntuhkan Petronas. Hasrat kita adalah setelah lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan angsa baharu bertelur emas dimiliki Sabah sendiri, iaitu SMJ Energy Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan media.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan kerjasama itu telah digerakkan melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) ditandatangani antara Kerajaan Sabah dan Petronas pada 7 Dis 2021.
Menurutnya, penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas (O&G) itu dirangka hasil pertemuan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Kewangan negeri Masidi Manjun dan beliau dengan kepimpinan Petronas pada 28 Ogos 2021.
“Kita telah menyerahkan secara bertulis kepada Petronas aspirasi dan tuntutan Sabah berkaitan industri minyak dan gas.
“Petronas menyambut baik kerana kali pertama mereka menerima kerangka menyeluruh syor dan cadangan daripada negeri berbanding suara serta tuntutan didengar secara lisan melalui ucapan di pelbagai platform oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sejak itu, katanya, kerjasama erat dengan Petronas tidak lagi hanya berkisar tentang royalti dan cukai jualan, tetapi diperluas kepada aspek lain seperti peningkatan ekuiti dalam pelbagai eksplorasi O&G, serta peningkatan penyertaan syarikat-syarikat tempatan Sabah.
Menurut Armizan, lebih 1,000 syarikat kontraktor tempatan kini terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri itu.
Beliau menambah, SMJ Energy sebagai anak syarikat kerajaan negeri, telah diamanahkan untuk menyelaraskan dan memantau setiap strategi penyertaan dan pemilikan Sabah yang lebih bermakna di seluruh rantaian nilai industri minyak dan gas.