
Katanya, permohonan itu sedang diteliti Majlis Tertinggi PN.
“Ada yang nak jadi ahli, ada yang mohon nak jadi ‘friend of Perikatan Nasional’. Jadi, banyak parti yang mohon untuk menyertai (PN).
“Kami mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak untuk bersama kami, termasuk NGO,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-66 di Kompleks PAS Kedah.
Tuan Ibrahim yang juga ahli Majlis Tertinggi PN bagaimanapun enggan mengesahkan jika ada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memohon menyertai gabungan pembangkang itu.
“Itu masih rahsia lagilah. Biar dulu, sehingga kita isytihar,” katanya.
Pada 5 Sept lalu, Setiausaha Agung PN, Azmin Ali dilaporkan berkata, ada perbincangan tidak rasmi antara gabungan pembangkang itu dengan MCA dan MIC – parti komponen BN.
Katanya, MCA dan MIC mengiktiraf dasar kerajaan PN terdahulu di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin sebagai adil dan mewakili segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Jun lalu, Presiden MCA, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, 191 bahagian parti itu akan membincangkan hala tujunya ekoran ketidakpuasan hati berhubung pengaruh terhad MCA dalam kerajaan dan akan mengemukakan cadangan pada perhimpunan agung tahunan Oktober ini.
MIC turut menyuarakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti demi kelangsungan politiknya dan untuk membela nasib masyarakat India.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengesahkan sayap itu mempelawa Pemuda MIC menghadiri muktamarnya hari ini.
“Kita jemput Timbalan Ketua Pemuda MIC (K Kesavan) ketika berjumpa di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu baru-baru ini. Dia berjanji untuk hadir, tapi kami tak nampak dia (hari ini).
“Mungkin pagi ini dia terhalang untuk hadirlah. Mungkin ada orang nasihat dia jangan hadir.
“Kami jemput MIC sahaja. Umno dan MCA tak dijemput,” katanya.
Pada 6 Sept lalu, Kesavan dilaporkan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu di Shah Alam, di tengah-tengah spekulasi PN cuba menarik MCA dan MIC menyertai gabungan pembangkang itu.
Pengerusi BN, Zahid Hamidi kemudian menuntut penjelasan MIC dan Presidennya, SA Vigneswaran memaklumkan beliau akan memberi penjelasan bertulis kepada Zahid dalam masa terdekat.