Tak payah ungkit lagi soal MN, veteran Umno beritahu Annuar

Tak payah ungkit lagi soal MN, veteran Umno beritahu Annuar

Pengerusi Othman Desa ulas dakwaan Annuar Musa bahawa akar umbi masih mahu Muafakat Nasional dihidupkan kembali.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa mengingatkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa bahawa MN berakhir selepas PAS memilih bersama Bersatu dalam PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Veteran Umno Othman Desa mengingatkan bekas pemimpin parti itu Annuar Musa supaya berhenti mengungkit mengenai Muafakat Nasional (MN) memandangkan kerjasama itu sudah tidak wujud.

Menurut Othman, Umno sudah lama menerima hakikat MN yang asalnya digagaskan untuk menyatukan kuasa politik Melayu-Islam berakhir selepas PAS memilih bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jangan ungkit-ungkit lagi, yang dia ungkit-ungkit lagi tu kenapa, tak kena tu. Apa tujuan dia, nak melemahkan Umno ke. Umno pun pernah mengata-ngata (PAS).

“Bila MN dah tak jadi, Umno terima hakikat itu sudah tidak jadi,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Annuar yang juga bekas setiausaha agung MN, menerusi hantaran Facebook berkata masih ramai akar umbi mahu kerjasama itu dihidupkan kembali bagi mengembalikan kuasa pemerintahan Melayu-Islam dalam usaha mengekang gerakan politik sekular dan liberal.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata beliau akan mengupas perkara itu menerusi tajuk ‘Muafakat Nasional selamatkan Malaysia’ yang akan disiarkan secara atas talian.

Antara perkara yang akan sentuh – sama ada masih ada harapan untuk MN kembali dan adakah ada usaha yang sedang dilakukan untuk menghidupkan kerjasama tersebut.

MN ditubuhkan pada Sept 2019 ketika Umno dan PAS dalam blok pembangkang susulan kejayaan Pakatan Harapan di PRU14 pada Mei 2018.

Pakatan itu terkubur selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu dan pada masa yang sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.

Othman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, menegaskan parti itu kini memberi tumpuan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.