Penduduk bantah pampasan bukan pembangunan Kg Sungai Baru, kata Zaliha

Penduduk bantah pampasan bukan pembangunan Kg Sungai Baru, kata Zaliha

Menteri Wilayah Persekutuan berkata sebarang rundingan berhubung isu pampasan perlu melalui proses mahkamah.

Zaliha Mustafa
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan hanya berperanan memudah cara dari segi syarat pembangunan kerana tanah Kampung Sungai Baru sudah menjadi milik pemaju. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penduduk yang membantah pengosongan Kampung Sungai Baru tidak menolak pembangunan di kawasan itu tetapi mempertikaikan soal pampasan yang diperoleh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, sebarang rundingan berhubung isu pampasan itu perlu melalui proses mahkamah kerana pihak kerajaan hanya berperanan memudah cara dari segi syarat pembangunan.

“Apa yang dipertikaikan penduduk yang tidak setuju ialah masalah pampasan.

“Jadi kalau tak puas hati lagi maka ada proses yang boleh dilakukan iaitu melalui mahkamah,” katanya pada sidang media khas mengenai isu penduduk Kampung Sungai Baru.

Semalam, dilaporkan berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan 37 rumah di Kampung Sungai Baru, apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan itu.

Operasi itu dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Ketika kekecohan itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera selepas terkena objek di kepala, dan tiga individu ditahan.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata sebarang perbincangan mengenai permintaan untuk menangguhkan pengosongan di Kampung Sungai Baru perlu dibuat terus dengan pihak pemaju dan bukannya kerajaan.

“Kalau nak berbincang tentang pengosongan, ia sudah ditentukan mahkamah. Itu bukan keputusan kerajaan.

“Jadi kalau penduduk mahu bincang lagi, mereka kena rujuk kepada pemaju, sebab tanah itu sudah menjadi milik pemaju,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata pihak yang melakukan kekecohan dan membantah pengosongan Kampung Sungai Baru semalam adalah daripada pihak luar.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut berhubung identiti pihak luar tersebut.

“Saya juga dah dimaklumkan sebenarnya, apa yang berlaku semalam itu adalah dilakukan oleh mereka yang bukan penduduk di situ pun.

“Saya tahu siapa sebenarnya yang di luar sana itu melakukan provokasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.