Kereta gelongsor dalam sungai, bapa didakwa sebab kematian 2 anak

Kereta gelongsor dalam sungai, bapa didakwa sebab kematian 2 anak

Abdul Rahman Mahmud yang mengaku tak salah mohon diberi jaminan dengan alasan mahu ziarah kubur anak.

Abdul Rahman Mahmud mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menyebabkan kematian dua anaknya selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Port Dickson pada 4 Sept lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bapa kepada dua kanak-kanak yang lemas selepas kereta dinaiki menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Port Dickson pada 4 Sept lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Abdul Rahman Mahmud, 46, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa menyebabkan kematian dua kanak-kanak itu di muara Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson, kira-kira jam 11.45 pagi, 4 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan dengan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Pusppa memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh akan melarikan diri.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam, merayu dibenarkan ikat jamin dengan alasan mahu menziarahi kubur anak-anaknya.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 Nov sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Linggi, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan berada di dalamnya.

Susulan kejadian itu, polis menahan bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.