
Bercakap pada satu persidangan di Tanjung Aru, Sabah, semalam, Hajiji berkata beliau telah mengadakan pertemuan sejak dari awal pelantikannya dengan pengerusi Petronas, Bakke Salleh, serta presiden dan ketua pegawai eksekutif, Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur.
Pada pertemuan berkenaan, Hajiji bersama setiausaha sulit kanan beliau ketika itu, Armizan Mohd Ali, serta Menteri Kewangan negeri, Masidi Manjun, membentangkan cadangan mereka yang dirangka dengan bantuan seorang pakar minyak dan gas (O&G) dari Sabah.
“Ketika kami bentang cadangan kepada pengerusi dan presiden, saya berkata kepada (Bakke): ‘Tan Sri, tolong tengok dahulu, jangan komen lagi’.”
“Selepas menelitinya, perkara pertama yang beliau katakan ialah, ‘Sekarang, barulah kami benar-benar tahu apa yang Sabah mahukan’.”
Beliau berkata, Petronas tidak tahu apa yang Sabah mahukan sebelum mesyuarat itu kerana tiada satu pun isu yang diperkatakan orang ramai sampai ke pengetahuan syarikat.
Mesyuarat itu membawa kepada perbincangan lanjut dengan menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz, dan kemudiannya, termeterai perjanjian kerjasama komersial yang bersejarah itu.
“Apabila kita berunding dengan cara yang betul dan bentangkan apa yang adil, kita akan mendapatnya.
“Hari ini, sebahagian besar hasil negeri kita datang daripada minyak dan gas. Kita kini memegang 50% kepentingan dalam lapangan minyak Samarang, 25% dalam Samur, dan baru-baru ini, 25% lagi dalam ZLNG. Lebih banyak rundingan sedang berjalan.
“Jika semua ini berjaya, pendapatan Sabah akan meningkat lagi,” katanya, sambil menambah pencapaian negeri adalah hasil hala tuju dasar yang jelas dan tegas di bawah pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berkata, kerangka SMJ menyaksikan kerajaan Sabah memperuntukkan RM1.3 bilion untuk pendidikan dalam tempoh empat tahun beliau menjadi ketua menteri.
“Biasiswa telah ditingkatkan daripada RM50 juta kepada RM138 juta, dan kita akan mencari tambahan RM20 juta hingga RM30 juta tahun hadapan kerana ramai anak-anak daripada keluarga miskin cemerlang dalam akademik dan layak mendapat sokongan.
“Melalui (dana pendidikan negeri Sabah), kita telah menanggung yuran universiti bagi tahun pertama melibatkan lebih 10,000 pelajar Sabah sehingga mereka memperoleh biasiswa atau pinjaman,” katanya.