
Universiti itu dalam kenyataan berkata sehingga kini tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap mana-mana staf akademik berkaitan petisyen yang dihantar bagi membantah pemakaian pekeliling tersebut.
Katanya, UTeM akan meneliti opsyen undang-undang yang bersesuaian terhadap sebarang kenyataan atau penerbitan yang menjejaskan reputasi universiti itu.
“Tuduhan ini secara langsung merencatkan usaha untuk memartabatkan pendidikan tinggi negara menerusi kecemerlangan akademik.
“UTeM menyeru seluruh warga UTeM untuk kekal fokus kepada agenda universiti dan tidak terpengaruh dengan kenyataan awam yang tidak bersandarkan kepada maklumat rasmi atau proses pentadbiran yang sebenar,” kata kenyataan itu.
Universiti itu mengulas dakwaan peguam kepada Azlianor Abdul Aziz dari Fakulti Teknologi Maklumat yang berlaku intimidasi terhadap anak guamnya ketika dalam proses rayuan.
Peguam itu Azam Aziz turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa meminta nama pensyarah-pensyarah yang menandatangan petisyen bagi membantah pemakaian pekeliling dikeluarkan UTeM berkenaan.
Julai lalu, Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Azlianor berkaitan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 11 Tahun 2024 dan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 23 Tahun 2024.
Dua pekeliling itu memperkenalkan sistem baharu penilaian prestasi pensyarah UTeM termasuk penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) penerbitan jurnal berindeks dan pendekatan kaedah pemarkahan dalam laporan penilaian prestasi tahunan (LPPT).
Azlianor memohon mahkamah membatalkan kedua-dua pekeliling atas alasan pelaksanaannya bertentangan hak asasi bawah Perkara 6(2), 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan serta mendakwa ia bercanggah Seksyen 8 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Perkara 4(1)(r) Perlembagaan UTeM.
Tindakan dilakukan pemohon susulan merasakan dirinya terkesan terhadap dua pekeliling pentadbiran dikeluarkan universiti.
Hakim Anselm Charles Fernandis menolak permohonan itu dengan kos RM15,000 dan memutuskan pemohon tidak berjaya menunjukkan sebarang kecacatan undang-undang.