
Kamul Kamarudin, 61, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, Kamul didakwa menggunakan profil Facebook ‘Amung Kamaruddin’ membuat dan memulakan satu komunikasi berbentuk ugutan yang berbunyi: “Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal… bila dia kerja… upah bah… pemandu langgar lari.
“Kita patut intai doktor ini di mana dia tinggal… bila dia bekerja… upah seseorang… pemandu langgar lari”.
Hantaran itu didakwa dibuat dengan niat untuk menimbulkan kegusaran, dan dibaca sendiri oleh Hiu pada 5 Sept jam 4.15 petang di Taman Luyang, di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles dan Eugenie Meredith Gilbert manakala tertuduh diwakili peguam Elhanan James.
Lovely mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin, namun James memohon jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya adalah penduduk tempatan Sabah dan tiada risiko melarikan diri.
James berkata Kamul yang juga seorang pesara guru besar sebuah sekolah rendah di Semporna, memberikan kerjasama penuh kepada polis sejak ditangkap pada 8 Sept lalu.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 Sept untuk pengurusan kes.
Minggu lalu, Hiu dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu itu membuat laporan polis mengenai ancaman diterima daripada warganet susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner.
Pada 4 Sept dalam inkues kematian Zara, pakar tersebut menyerahkan kepada Mahkamah Koroner menentukan sama ada pelajar Tingkatan 1 itu terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh mengenai kemungkinan remaja 13 tahun itu melompat sendiri dari lokasi kejadian.
Sebelum itu, Hiu menolak kemungkinan Zara ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.
Jessie berkata, besar kemungkinan mangsa melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama, lapor Harian Metro.